Bas Ekspres Terbabas Elak Motosikal Muncul Mengejut

KINABATANGAN: Sebuah bas ekspres terbabas selepas cuba mengelak sebuah motosikal yang keluar secara tiba-tiba dari simpang dalam kejadian di Jalan Kampung Paris 2, Jalan Sandakan–Lahad Datu, di Kinabatangan, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi itu, bas jenis Scania milik Amin Jaya yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu ke Semporna hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Ravi A/L Duraisamy, berkata siasatan awal mendapati motosikal yang tidak dikenal pasti itu keluar secara mengejut dari simpang di sebelah kiri jalan.

“Pemandu bas bertindak mengelak ke kiri, namun gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas ke kawasan berumput,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bas berkenaan membawa 39 penumpang dan kesemua mereka termasuk pemandu dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.

“Semua penumpang berada dalam keadaan baik dan tiada kecederaan dilaporkan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Kaedah Lalulintas 10 LN166/59 dan pegawai penyiasat ialah Mohd Rizal Mohamed Talib.