KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, Azhar Matussin menuntut penjelasan segera daripada pihak berkuasa berhubung kegagalan projek tebatan banjir bernilai RM36 juta yang masih tidak mampu menghalang kejadian banjir di Rampayan.
Beliau berkata, banjir yang kembali melanda kawasan itu Sabtu lalu jelas membuktikan projek Fasa Pertama yang hampir siap tidak berfungsi secara berkesan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap perancangan, pelaksanaan serta pemantauan projek berkenaan.
Azhar mengulas kenyataan Ahli Parlimen Sepanggar,Datuk Mustapha Sakmud yang mempersoalkan mengapa banjir berlaku dengan lebih teruk tahun ini walaupun projek tebatan dilaporkan mencapai tahap 95 peratus siap.
Menurut Azhar, isu banjir di kawasan Manggatal–Rampayan bukan perkara baharu dan telah dibangkitkan berulang kali dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah sejak hampir tiga tahun lalu, termasuk keperluan pengorekan, pendalaman serta pelebaran sungai bagi meningkatkan kapasiti aliran air.
“Namun, tindakan yang diambil terlalu perlahan dan tidak menyeluruh, menyebabkan rakyat terus berdepan risiko banjir setiap kali hujan lebat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan kelewatan kelulusan projek Fasa Kedua bernilai RM39 juta, yang menurutnya sepatutnya diluluskan lebih awal bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat dilaksanakan tanpa jurang masa yang menjejaskan keselamatan penduduk.
Sehubungan itu, Azhar menggesa pelaksanaan audit teknikal dan kewangan bebas terhadap projek Fasa Pertama bagi menilai keberkesanan sebenar, selain menuntut ketelusan penuh daripada pihak berkaitan demi memastikan wang rakyat dibelanjakan secara berhemah dan berimpak.
Katanya, rakyat tidak lagi memerlukan penjelasan selepas bencana berlaku, sebaliknya tindakan pantas dan penyelesaian konkrit bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.
