Abang ‘songlap’ cincin adik dicekup polis

TAWAU: Tindakan seorang lelaki ‘songlap’ cincin emas milik adiknya sendiri akhirnya memakan diri apabila dia diberkas polis dalam operasi di Jalan Apas, pagi tadi.

Suspek berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 10.15 pagi di tepi Jalan Kampung Hidayat oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian disedari mangsa selepas cincin emas miliknya hilang dari rumah di Batu 5, Jalan Apas.

“Hasil risikan dan maklumat, polis berjaya mengesan serta menahan suspek yang dipercayai terbabit dalam kes ini,” katanya.

Menurutnya, susulan penahanan itu, polis menyerbu sebuah kedai emas di Jalan Chester sebelum menemui semula cincin milik mangsa bersama resit jualan atas nama suspek.

Katanya, suspek kini direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Tiada kompromi walaupun melibatkan ahli keluarga,” tegasnya.