Kerajaan Sabah tangani isu penginapan pelancongan di Semporna secara bersepadu

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menangani isu berkaitan operasi penginapan pelancongan di Semporna melalui pendekatan menyeluruh dan bersepadu bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan memberi manfaat kepada rakyat tempatan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, isu berkenaan perlu dinilai secara berhati-hati berdasarkan fakta yang sahih serta mengambil kira kepentingan ekonomi jangka panjang negeri.

Beliau mengulas kenyataan Datuk Armizan Mohd Ali berhubung laporan bahawa 81 premis penginapan di Semporna didakwa sebahagian besarnya dikendalikan oleh syarikat luar.

Menurut Jafry, kerajaan negeri kekal terbuka kepada pelaburan asing, namun menegaskan pelaburan tersebut mesti memberikan manfaat nyata kepada Sabah termasuk peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, penyertaan komuniti setempat serta limpahan ekonomi yang lebih seimbang.

“Pembangunan pelancongan perlu memastikan rakyat Sabah menjadi penerima manfaat utama, bukan sekadar keuntungan kepada pihak luar,” katanya.

Beliau berkata, kementeriannya telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemantauan Industri Pelancongan Semporna yang melibatkan agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemain industri dan wakil komuniti.

Katanya, pasukan petugas itu bertujuan menangani isu pelancongan di Semporna secara lebih sistematik, selain menyelaras peranan, bidang kuasa dan penguatkuasaan antara agensi berkaitan.

Jafry menambah, isu berkaitan aktiviti perniagaan haram berada di bawah bidang kuasa Kementerian Kerajaan Tempatan, namun kerajaan negeri akan bekerjasama rapat bagi memastikan tadbir urus dan penguatkuasaan yang berkesan.

Beliau menegaskan, Sabah perlu kekal berdaya saing di peringkat global sambil memastikan pembangunan pelancongan tidak berkembang sebagai ekonomi terasing yang mengabaikan kepentingan masyarakat tempatan.