Projek Esteel Cipta Kesan Rantaian Perniagaan – Hajiji

KOTA KINABALU : Projek tiga fasa Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM31 bilion akan mencetuskan kesan rantaian yang meluas melangkaui teknologi hijau untuk merangsang inovasi, memacu manfaat kepada perniagaan dan masyarakat di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, projek itu juga akan mewujudkan peluang pekerjaan dan meningkatkan taraf hidup rakyat, bukan sahaja untuk Sipitang tetapi juga untuk negeri secara amnya.

Katanya, beliau menekankan kepada pelabur agar dapat diwujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

“Saya mahu semua pemain industri melabur dalam latihan dan pembangunan tenaga kerja tempatan kita dan mematuhi keperluan asas ini sebagai prinsip utama komitmen kita terhadap pembangunan tempatan.

“Usaha kolektif ini adalah penting untuk memastikan bahawa tenaga kerja tempatan kita mempunyai kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan industri,” katanya.

Hajiji berkata, taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Industri Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Industri Kota Kinabalu (KKIP) menunjukkan peningkatan kadar penghunian dalam tempoh empat tahun yang lalu.

“Akibat permintaan yang tinggi daripada pelabur, Kerajaan Negeri telah meluluskan tiga taman industri baru di Kota Belud, Beaufort dan Kudat untuk Taman Industri Ekonomi Biru.

“Pembangunan ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi Sabah dalam meneruskan usaha meneroka potensi baru demi merealisasikan potensi penuh negeri ini,” jelas Hajiji.

Menurutnya, beliau menegaskan Sabah akan sentiasa mesra pelabur  sekali gus melaksanakan dasar terbaik untuk menarik lebih ramai pelabur ke sini. 

“Kami komited untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif yang menyuburkan pelaburan dan memupuk kerjasama,” ujarnya.

“Kami memahami kepentingan mewujudkan suasana yang stabil, telus, dan menyokong agar pelaburan dapat berkembang,” katanya.