KOTA KINABALU: Sabah Electricity (SE) mengekalkan tahap kesiapsiagaan operasi tinggi sempena Aidilfitri dengan menggerakkan seramai 500 petugas bagi memastikan bekalan elektrik kekal stabil di seluruh negeri.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mohd Yaakob Jaafar berkata, langkah itu melibatkan pemantauan sistem secara berterusan serta tindak balas pantas sekiranya berlaku gangguan bekalan.
“Keutamaan kami adalah memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara, khususnya ketika permintaan tenaga meningkat pada musim perayaan,” katanya.
Beliau berkata, penyelarasan pasukan teknikal di lapangan dan pusat kawalan dilaksanakan bagi memastikan operasi berjalan lancar sepanjang tempoh perayaan.
Dalam pada itu, orang ramai turut diingatkan supaya mengamalkan penggunaan tenaga secara cekap dan mengutamakan keselamatan elektrik.
