5 penunggang ditahan, 10 motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan

LAHAD DATU: Polis menahan lima penunggang motosikal dan menyita 10 buah motosikal dalam Op Motosikal (Samseng Jalanan) yang dijalankan di beberapa lokasi sekitar bandar ini, lewat malam tadi.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu bersama beberapa bahagian lain melibatkan kawasan Pusat Bandar Lahad Datu, Bandar Sri Perdana, Bandar Fajar Centrel serta Jalan Lahad Datu–Sandakan/Tawau.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata lima penunggang lelaki berusia 20 tahun yang ditahan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta menunggang motosikal tanpa lesen memandu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, sepanjang operasi itu, seramai 46 individu dan 35 buah motosikal diperiksa, manakala 32 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Selain itu, sebanyak 10 buah motosikal turut disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana pelbagai kesalahan termasuk pengubahsuaian kenderaan serta penunggang tidak memiliki lesen memandu yang sah.

Beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergerakan anak-anak agar tidak terlibat dengan aktiviti lumba haram dan samseng jalanan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya.

Polis turut memberi amaran tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil dan operasi seumpama ini akan diteruskan bagi membendung kegiatan berkenaan.