31 rumah setinggan sekitar Bandaraya dirobohkan agensi penguat kuasa

KOTA KINABALU : Sebanyak 31 rumah setinggan dirobohkan dalam operasi untuk memastikan kawasan Bandaraya Kota Kinabalu bebas daripada penempatan haram.

Menurut kenyataan dikeluarkan dilaman Facebook rasmi Polis Daerah Kota Kinabalu, operasi meroboh ini dilakukan demi meningkatkan kesejahteraan serta keselamatan masyarakat.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu melaksanakan Operasi Perobohan Koloni Setinggan Bil: 138/2024, Siri: 10/2024 di sekitar ibu negeri di sini semalam.

“Operasi ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Sabah Electricity, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), serta Jabatan Ketua Menteri (JKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, operasi berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini sekali gus mencerminkan komitmen berterusan PDRM IPD Kota Kinabalu untuk menangani isu sosial.

“Selain itu polis juga komited untuk mencegah kegiatan jenayah, serta memastikan pembangunan kawasan yang teratur,” katanya.