SEMPORNA: Sebuah premis perniagaan dikenakan tindakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang dan sukat yang tidak ditentusahkan dalam satu operasi bersepadu penguatkuasaan di sini semalam.
Operasi yang dijalankan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Cawangan Semporna bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Sabah.
Dalam operasi itu, sebanyak 30 premis perniagaan diperiksa melibatkan tujuh anggota penguat kuasa dengan tumpuan kepada pematuhan perundangan termasuk sektor pelancongan.
Ketua Cawangan KPDN Semporna, Satunlucy Lamioh @ Lamidah berkata tindakan itu diambil di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan peniaga mematuhi undang-undang dan melindungi kepentingan pengguna.
Beliau turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan berkaitan salah laku peniaga kepada pihak KPDN bagi membolehkan tindakan segera diambil.
