28 PATI dicekup, operasi ESSCOM cecah RM680,000

SEMPORNA: Operasi bersepadu ESSCOM selama dua hari di Semporna berjaya menahan 28 pendatang asing tanpa izin (PATI) serta mengesan pelbagai kesalahan dengan nilai keseluruhan rampasan, kompaun dan tindakan penguatkuasaan dianggarkan RM680,250.

Operasi yang dijalankan pada 1 hingga 2 April itu melibatkan pemeriksaan ke atas 40 resort dan premis perniagaan di sekitar bandar, perairan serta kawasan penempatan termasuk koloni setinggan.

Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos, berkata operasi itu membabitkan seramai 269 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan penguatkuasaan.

Menurutnya, pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ke atas 38 individu mendapati 28 daripadanya adalah PATI yang gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

“Semua individu yang ditahan akan diserahkan kepada JIM untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi itu turut membongkar pelbagai kesalahan lain melibatkan pelesenan premis, kebajikan pekerja, keselamatan kebakaran serta pematuhan undang-undang perniagaan.

Antara tindakan penguatkuasaan diambil:

32 kompaun oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK)

9 kompaun oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

33 kompaun oleh Majlis Daerah Semporna (MDS)

49 notis kesalahan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM

18 kompaun oleh PERKESO

Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) turut merampas minuman keras tanpa lesen bernilai RM11,642.19, manakala Jabatan Hidupan Liar Sabah merampas pelbagai hasil hidupan liar dianggarkan bernilai RM1,300.

Victor berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti tidak sah yang boleh menjejaskan keselamatan serta imej sektor pelancongan di Semporna.

“ESSCOM akan terus memperhebat operasi bersepadu bagi mengekang jenayah rentas sempadan dan memastikan keselamatan di ESS Zone sentiasa terpelihara,” katanya.

Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan kepada ESSCOM melalui talian 089-863181 atau WhatsApp 011-63311072.