KOTA KINABALU: Isu hakmilik strata melibatkan kira-kira 230 unit kediaman di Ganang Villa, Kapayan masih belum menemui penyelesaian walaupun telah berlarutan lebih 15 tahun, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Chin Tek Ming.
Chin berkata, kebanyakan pemilik rumah masih tidak mengetahui status sebenar hakmilik strata masing-masing sejak 2010, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak berkaitan.
Menurutnya, kelewatan berpanjangan itu bukan sahaja menimbulkan keresahan, malah memberi kesan serius terhadap hak pemilikan harta, termasuk urusan jual beli, pembiayaan bank, jaminan keselamatan pemilikan serta proses pewarisan.
“Hakmilik strata adalah dokumen undang-undang asas yang menjamin hak pemilik rumah. Kelewatan terlalu lama dalam pengeluarannya tidak wajar berlaku dan perlu diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama wakil penduduk dan pemilik unit Ganang Villa.
Chin berkata, sebagai wakil rakyat, beliau bertanggungjawab membawa isu berkenaan kepada agensi kerajaan berkaitan bagi mengenal pasti punca kelewatan serta mencari jalan penyelesaian yang konkrit dan menyeluruh.
Beliau turut memberi jaminan pejabatnya akan terus berhubung dengan jawatankuasa pro-tem penduduk, selain memantau perkembangan isu itu sehingga satu penyelesaian jelas dicapai.
“Saya komited untuk mempertahankan kepentingan jangka panjang penduduk Ganang Villa serta memastikan tadbir urus yang baik dan keadilan kepada pemilik rumah di kawasan DUN Kapayan,” katanya.
Isu hakmilik strata melibatkan 230 unit kediaman di Ganang Villa, Kapayan masih belum diselesaikan sejak 2010.
