12 PATI Dicekup Dalam Operasi Imigresen Di Tenom

TENOM: Seramai 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini, semalam.

Operasi itu dijalankan hasil risikan dan aduan awam selama seminggu di beberapa lokasi berasingan sekitar Tenom.

Ketua operasi berkata, pemeriksaan terhadap 55 individu dilakukan, dan 12 daripadanya, semua warga Filipina, ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan sah.

Seramai lapan pegawai Pejabat Imigresen Tenom bersama 10 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Tenom terbabit dalam operasi berkenaan.

Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Menurut JIM Sabah, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

Jabatan itu turut mengingatkan masyarakat supaya menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin bagi membantu menjaga keselamatan negeri.

“Tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang imigresen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.