11 premis diperiksa, tujuh notis dikeluarkan

BELURAN: Sebanyak 11 premis termasuk premis makanan dan sebuah stesen minyak diperiksa dalam Operasi Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (AKPMDKA 2024) yang dijalankan di sekitar Check Point Batu 32 dan kawasan tepi jalan di daerah ini, Selasa.

Operasi itu membabitkan dua pasukan penguat kuasa dengan kekuatan seramai 10 anggota.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh Notis Borang 2 dikeluarkan atas kesalahan di bawah Seksyen 16(2)(4) akta berkenaan.

Menurut Unit Penyiasatan dan Pendakwaan (UPP) Beluran, operasi itu dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang serta melindungi kesihatan awam dan keselamatan komuniti setempat.

Orang ramai diingatkan supaya mematuhi larangan merokok di 28 kawasan yang telah diwartakan dan mereka yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan kompaun mengikut jenis kesalahan.