Warisan lancar sistem rawatan air tanpa bahan kimia di Pitas

 

BENGKOKA: Parti Warisan Sabah melancarkan Sistem Rawatan Air Mentah Berteknologi Tinggi Tanpa Bahan Kimia di Kampung Dandun bagi menangani masalah bekalan air bersih yang sekian lama membebankan penduduk Bengkoka dan Pitas.

Calon Warisan Bengkoka, Fauziah Mohd Fuad Stephens, berkata inisiatif itu membuktikan komitmen Warisan untuk terus bekerja demi rakyat meskipun bukan kerajaan.

“Masalah air di Bengkoka dan Pitas bukan lagi isu teknikal. Ini soal maruah rakyat.

“Sudah terlalu lama keluarga terpaksa bangun seawal jam 4 pagi semata-mata untuk mendapatkan air,” katanya di sini hari ini.

Menurut Fauziah, sistem tersebut dibangunkan dengan ciri-ciri mesra pengguna termasuk tidak menggunakan bahan kimia, mudah dikendalikan penduduk kampung, kos penyelenggaraan rendah serta mampu menghasilkan air bersih selamat diminum.

“Ini bukan sekadar mesin. Ini membantu menjimatkan masa, menjaga kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup penduduk,” katanya.

Beliau berkata, projek itu akan dijadikan model untuk diperluaskan ke kampung lain sekiranya Warisan diberi mandat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17.

“Jika sebagai calon pun kami sudah turun bekerja, bayangkan apa yang boleh dilakukan apabila menjadi kerajaan,” katanya.

Fauziah turut menegaskan rakyat tidak lagi mampu menunggu janji yang tidak ditepati.

“Warisan tidak menunggu jawatan untuk berkhidmat. Kami turun padang membawa penyelesaian, bukan alasan,” katanya.

Sistem berkenaan dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk termasuk bekalan air yang lebih stabil, penjimatan kos harian, peningkatan tahap kesihatan dan peluang komuniti mengurus sistem sendiri.