KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (WARISAN) menegaskan komitmen untuk terus menyokong Kerajaan Persekutuan demi memastikan kepentingan rakyat Sabah tidak terabai dalam arus politik semasa.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, pendirian itu jelas membuktikan WARISAN lebih mengutamakan usaha pembangunan negara berbanding retorik politik yang tidak menguntungkan rakyat.
Menurut beliau, Sabah masih memerlukan perhatian serius daripada kerajaan pusat terutama dalam isu pembangunan ekonomi, penyediaan infrastruktur dan hak rakyat yang sewajarnya dipulangkan.
“Kami sentiasa konsisten menyokong usaha membangunkan negara terutamanya dalam menjamin hak serta kemajuan ekonomi rakyat Sabah,” kkatanya dalam program di Limbawang, Beaufort di sini hari ini.
Shafie berkata WARISAN tidak pernah berkompromi apabila melibatkan suara rakyat Sabah dan akan terus memperjuangkan tuntutan yang sudah lama diketepikan seperti peruntukan pembangunan yang setara.
Jelasnya lagi, sokongan itu juga penting bagi menjamin kestabilan politik negara, sekali gus mengelakkan gangguan terhadap dasar dan pelaksanaan projek pembangunan di negeri ini.
“Ini bukan masa untuk bermain politik. Apa yang penting adalah masa depan rakyat Sabah. Politik boleh berbeza, tetapi hak rakyat jangan sesekali dipertaruhkan,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa apa jua bentuk kolaborasi politik yang dilakukan adalah bertujuan memastikan Sabah terus maju dan rakyat menerima manfaat yang sepatutnya daripada kerajaan pusat.
