Warisan hanya tahu menunggang isu, bukan perjuangkan hak Sabah – Rafie

KOTA KINABALU – Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menempelak dakwaan Timbalan Ketua Penerangan Pusat Parti Warisan, Justin Wong, yang menuduh Kerajaan Negeri cuba “menumpang kredit” atas keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus hasil bersih Sabah.

Setiausaha Pemuda GRS Pusat, Rafie Datuk Robert berkata, tuduhan itu tidak berasas dan membuktikan Warisan masih gagal memahami perjuangan sebenar menegakkan hak Sabah di bawah Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjuangan menuntut hak Sabah tidak boleh dibuat secara populis atau emosional. Ia perlu berasaskan undang-undang, rundingan diplomatik dan keazaman politik yang konsisten — bukan sekadar menjerit dari luar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor mengambil pendekatan matang serta bertanggungjawab, malah tidak pernah menolak perjuangan Sabah Law Society (SLS) yang turut membawa matlamat sama.

Rafie berkata, tuduhan kononnya Kerajaan Negeri berubah pendirian juga tidak benar kerana pendekatan kerajaan sentiasa fleksibel dan berpaksikan realiti semasa, bukan retorik politik.

“GRS tidak menunggang kemenangan sesiapa. Apa yang penting ialah memastikan hak Sabah benar-benar dilaksanakan dan rakyat menerima manfaatnya. Warisan boleh terus bermain politik, tetapi kerajaan bekerja untuk rakyat,” tegasnya.