KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) membidas keras dakwaan Timbalan Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali, yang kononnya kerajaan Warisan gagal memperjuangkan hak 40 peratus hasil Sabah.
Bendahari Agung Warisan, Azhar Matussin, menegaskan kenyataan itu hanya cubaan menutup kelemahan kerajaan GRS-PH sendiri yang pernah melantik peguam untuk menentang Sabah Law Society (SLS) dalam kes semakan kehakiman berkaitan tuntutan 40 peratus.
“Surat rasmi Jabatan Peguam Besar Negeri bertarikh 8 Jun 2022 jelas menunjukkan Kerajaan Sabah di bawah GRS-PH melantik peguam Tengku Ahmad Fuad untuk ‘melawan’ SLS di mahkamah.
“Ironinya, peguam itu berhujah bahawa hak 40 peratus hanyalah ‘aspirasi’, bukan hak mandatori. Itu hujah yang menolak kepentingan Sabah,” katanya.
Azhar berkata apabila isu itu mencetuskan kemarahan rakyat, kerajaan GRS-PH akhirnya terpaksa menarik balik hujah dan gugurkan peguam tersebut, membuktikan pendirian mereka tidak konsisten serta gagal mempertahankan hak negeri.
“Jangan tipu rakyat konon GRS-PH lebih cekap. Hakikatnya, merekalah yang hampir menjejaskan perjuangan 40% itu,” tegas Azhar.
