Warga emas meninggal dunia, terkunci dalam kereta

KOTA KINABALU : Seorang lelaki merupakan warga emas ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kenderaan terkunci dalam kejadian di Jalan Bukit Temasu, Taman Sinar, di sini semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, mangsa berusia 69 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kenderaan yang terkunci kira-kira pukul 10 pagi.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu bersama sepasukan empat anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira enam kilometer dari BBP Lintas.

“Pihak bomba kemudiannya bertindak membuka pintu kereta menggunakan peralatan khas sekali gus mengesahkan mangsa telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

“Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Agustavia Joe berkata, operasi ditamatkan pada jam 10.22 pagi selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi.