Warga emas maut kereta terbabas bawa ikan, udang

TAWAU: Seorang warga emas maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas sebelum berpusing dan terhenti dalam parit di Batu 9, Jalan Kalabakan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, mangsa lelaki berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 4.30 petang sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa ketika itu memandu bersama seorang penumpang lelaki warga asing berusia 40 tahun dari Tawau menuju ke Keningau sambil membawa muatan ikan baulu dan udang.

“Setibanya di lokasi berselekoh, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum kenderaan terbabas ke bahu kiri jalan.

“Kenderaan kemudian berpusing menghala semula ke arah Tawau sebelum terhenti dalam parit di bahu jalan,” katanya.

Beliau berkata, akibat impak kemalangan itu, mangsa tercampak keluar melalui cermin hadapan sebelum terjatuh ke dalam longkang kecil.

“Penumpang pula tersepit di tempat duduk hadapan, namun berjaya dikeluarkan dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.