TAWAU : Seorang lelaki warga emas ditahan selepas dipercayai menghina Agama Islam melalui satu hantaran di media sosial ‘Facebook’, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Bin Hussin berkata, suspek warga tempatan berumur 70 tahun merupakan pemilik akaun media sosial itu ditahan pada jam 12.15 tengah malam tadi di sekitar bandar Tawau.
Katanya, Polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 25 tahun mendakwa melihat satu kenyataan dimuat naik individu melalui platform media sosial ‘Facebook’ menganggap menyinggung sensitiviti umat Islam, pada Selasa lalu.
“Lelaki warga emas itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan daripada orang awam memaklumkan mengenai hantaran tersebut.
“Polis sedang menjalankan siasatan terhadap suspek bagi mengenal pasti niat disebalik kenyataan yang dimuat naiknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana sengaja mengeluarkan kenyataan menimbulkan perasaan permusuhan, kebencian atau penghinaan.
“Akta itu juga akan merangkumi terhadap mana-mana agama dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Polis mengingatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan kenyataan bentuk penghinaan terhadap agama dan etnik di negara ini,” jelas Jasmin.
Menurutnya, kenyataan ini perlu dielakan kerana boleh mencetuskan ketegangan serta mencabar keharmonian masyarakat berbilang bangsa dan agama di negara ini.