KOTA MARUDU: Seorang warga emas berusia 70 tahun ditahan selepas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah merampas 2,971 kotak makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai lebih RM656,000 dalam satu serbuan di sebuah premis di sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, operasi dijalankan kira-kira jam 10 pagi hasil kerjasama Unit Risik Marin, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Katanya, pemeriksaan mendapati makanan sejuk beku itu diimport dari negara tidak diiktiraf dan melanggar peraturan di bawah Enakmen Haiwan 2015 dan Akta Makanan 1983.
“Suspek terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen sah berhubung barangan berkenaan.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM656,197. Kes disiasat di bawah Akta Makanan 1983 dan Enakmen Haiwan 2015,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, PPM komited dalam membanteras kegiatan penyeludupan yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan negara.
“Kerjasama dengan agensi lain akan terus diperkukuh bagi memastikan kawalan terhadap makanan import dilaksanakan dengan lebih ketat,” ujarnya.