LAHAD DATU: Seorang wanita berusia 50 tahun maut manakala lima lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan dua kenderaan di Jalan Silam, sebelum Sekolah Kebangsaan (SK) Silam, di sini, petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 petang itu, kemalangan membabitkan sebuah Toyota Fortuner dan sebuah Perodua Axia yang dipercayai bertembung.
Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PBK I Mohamud Bin Punya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui NG999 sebelum tujuh anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 24 kilometer dari balai.
“Setibanya jentera bomba pada jam 2.52 petang, didapati terdapat enam mangsa terbabit. Seorang mangsa tersepit di dalam Toyota Fortuner berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba,” katanya.
Menurutnya, mangsa yang tersepit itu dihantar ke Hospital Lahad Datu menggunakan jentera EMRS Bomba untuk rawatan lanjut.
Bagaimanapun, seorang wanita berusia 50 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Selain itu, tiga mangsa wanita mengalami cedera ringan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM, manakala seorang lagi mangsa lelaki yang juga pemandu Toyota Fortuner turut cedera ringan,” katanya.
Maklumat mengenai mangsa dari kenderaan Perodua Axia bagaimanapun tidak dapat diperoleh.
Operasi menyelamat berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang dan ditamatkan sembilan minit kemudian selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.
Turut berada di lokasi ialah dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dua petugas KKM bagi membantu operasi.
