TUARAN: Seorang wanita ditemukan lemas ketika keluar menangkap ikan bersama suaminya di muara Sungai Laya-Laya, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam itu, mangsa berusia 35 tahun berada di atas perahu manakala suaminya turun menyelam untuk menangkap ikan.
Bagaimanapun, selepas 20 minit, suami mangsa naik semula ke perahu tetapi isterinya didapati tiada sebelum meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Timbalan Penguasa Bomba II Mohammad Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.02 malam.
“Seramai enam anggota bersama sebuah jentera dan bot digerakkan ke lokasi. Mangsa ditemui penduduk kira-kira jam 11 malam di tebing sungai, 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang,” katanya.mengikut laporan utusan borneo hari ini.
Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 12.38 tengah malam.