Wanita disyaki terlibat kes buang bayi ditahan

LAHAD DATU : Seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki  membuang bayi lelaki baharu dilahirkannya di hadapan sebuah rumah di Kampung Burung, Jalan Bakawali di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbaharin Ismail berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan ketika kejadian kira-kira jam 3.06 pagi pada 18 Julai lalu selepas polis menerima maklumat dari orang awam.

Katanya, bayi lelaki terbabit dipercayai masih hidup ketika kejadian kemudiannya dikejarkan ke Hospital Lahad Datu untuk menerima rawatan lanjut.

“Bayi terbabit disahkan meninggal dunia pada jam 7.02 malam hari sama akibat dilahirkan pra matang serta mempunyai berat badan terlalu rendah.

“Kita berjaya menahan suspek semalam, siasatan awal mendapati wanita itu melahirkan bayi terbabit di rumahnya sebelum meletakkannya di luar kawasan rumahnya.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan,” katanya dalam  kenyataan media di sini hari ini.

Dzulbaharin berkata, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Lahad Datu bagi membantu siasatan lanjut.