Usahawan PMKS Sabah bakal sertai program latihan AI

KOTA KINABALU: Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Sabah akan melancarkan program latihan kecerdasan buatan (AI) khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di negeri itu pada awal tahun 2026.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata program berkenaan bertujuan memperkasa keupayaan digital serta meningkatkan daya saing usahawan PMKS selaras dengan perkembangan teknologi semasa.

Katanya, program itu akan dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara MINDET dan syarikat teknologi, Pepper Labs.

“Saya menghargai cadangan kerjasama strategik antara Pepper Labs dan MINDET Sabah bagi menjayakan program AI untuk usahawan PMKS Sabah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, inisiatif itu diharap dapat menggalakkan penggunaan AI dalam operasi dan pengurusan perniagaan usahawan tempatan.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan delegasi Pepper Labs yang diketuai Pengarah Urusannya, Thanaselan Rajendran, di pejabatnya di Wisma Kewangan, Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, Ewon turut menghargai keputusan Pepper Labs memilih Parlimen Penampang sebagai lokasi pelaksanaan inisiatif perusahaan sosial yang dibiayai Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan PMKS termasuk perusahaan sosial dan perniagaan inklusif di Sabah.