UPKO: Hormati Autonomi PH Sabah, Isu Logo Bukan Ukuran Kesetiaan

TUARAN: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menegaskan bahawa cadangan penggunaan logo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang perlu dinilai secara matang dan berlandaskan semangat muafakat dalam Pakatan Harapan (PH).

Ketua Pemuda UPKO Tuaran, Rayner Ebi, berkata perkara itu selaras dengan kenyataan Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini memberi autonomi kepada PH Sabah untuk menentukan strategi politik di peringkat negeri.

“Dalam mesyuarat pimpinan PH Sabah pada 29 Mei lalu, Perdana Menteri menyatakan bahawa PH Sabah mempunyai empat ketua mewakili empat parti komponen, dan penyelarasan keseluruhan diterajui oleh Pengerusi PH Sabah, Datuk Ewon Benedick,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rayner berkata, kenyataan itu menunjukkan kepercayaan serta penghormatan kepimpinan pusat terhadap keunikan politik Sabah, dan UPKO berpegang kepada semangat tersebut dalam setiap pertimbangan parti.

Menurutnya, cadangan penggunaan logo parti tidak wajar ditafsir sebagai tanda kurang setia, sebaliknya dilihat sebagai strategi politik yang mengambil kira identiti tempatan dan pendekatan lebih dekat dengan rakyat.

“PH Sabah sentiasa mengamalkan prinsip perbincangan dan kesepakatan. Malah, PKR juga pernah menggunakan logo parti sendiri dalam PRN Johor 2022, manakala Amanah dan DAP ketika itu menggunakan logo Pakatan Harapan,” katanya.

Beliau menjelaskan, contoh itu menunjukkan bahawa PH terbuka terhadap kepelbagaian strategi di bawah satu payung kerjasama tanpa menggugat semangat setiakawan dalam gabungan berkenaan.

Rayner turut menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan tertinggi PH akan meneliti isu tersebut dengan kebijaksanaan dan semangat perpaduan yang telah lama menjadi kekuatan utama gabungan itu.

“UPKO menyerahkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan terbaik. Apa yang lebih penting ialah memastikan kesatuan dan kekuatan bersama terus diperkukuh demi kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau menegaskan UPKO kekal komited memperkukuh kerjasama dalam Pakatan Harapan selaras dengan semangat saling menghormati serta tanggungjawab bersama membina masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera