KOTA KINABALU: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menggugurkan rayuan di Mahkamah Rayuan berhubung grounds of judgment keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu berkaitan tuntutan hak 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick berkata, langkah itu penting bagi memastikan pelaksanaan hak Sabah dapat diselesaikan secara berhemah dan selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tanpa melalui proses litigasi yang berpanjangan.
Menurut beliau, sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menunjukkan keikhlasan dalam melaksanakan hak-hak Sabah sebagaimana yang termaktub dalam perjanjian tersebut.
“Pelaksanaan hak 40 peratus ini amat penting untuk memenuhi keperluan pembangunan Sabah termasuk pembasmian kemiskinan, pembangunan ekonomi dan perindustrian, keusahawanan, kebajikan rakyat serta pembangunan modal insan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), pada Ahad.
Mengulas lanjut, Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang dijadualkan pada Disember lalu telah ditangguhkan.
Katanya, pendirian Sabah seharusnya jelas agar Kerajaan Persekutuan menggugurkan rayuan tersebut demi mencari penyelesaian muktamad terhadap tuntutan berkenaan.
“Isu penangguhan mesyuarat itu wajar dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Penampang berkenaan memaklumkan beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam perbahasan di Parlimen dan mengulangi pendirian UPKO agar rayuan berkenaan digugurkan.
Menurut beliau, UPKO mengiktiraf kemajuan Sabah sejak 1963 serta menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63 setakat ini.
Namun katanya, tuntutan utama rakyat Sabah iaitu pemulangan 40 peratus hasil Persekutuan kepada kerajaan negeri yang terhenti sejak 1974 masih belum diselesaikan.
“Perkongsian hasil ini bukan isu politik, sebaliknya merupakan hak perlembagaan yang masih tertangguh,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan UPKO akan terus memperjuangkan tuntutan berkenaan melalui pelbagai saluran termasuk kerajaan, politik, perundangan, akademik dan media.
