UMS Jadikan Pantai Dalit ‘Living Lab’ Baharu, Bantu Majukan Komuniti Setempat

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) bakal menjadikan Pantai Dalit, Tuaran sebagai Living Lab baharu — sebuah inisiatif unik yang menggabungkan penyelidikan, inovasi dan pembangunan komuniti setempat.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMS, Prof. Dr. Rosalam Sarbatly, berkata usaha itu memberi fokus kepada program pemindahan ilmu dan aktiviti komuniti yang mampu meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan berkenaan.

“UMS akan melaksanakan pelbagai aktiviti bagi membantu memajukan masyarakat Dalit, termasuk dalam aspek ekonomi dan perancangan strategik komuniti,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Bola Sepak Dalit Cup mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, universiti bukan sahaja menjadi pusat ilmu, tetapi juga agen perubahan yang mampu memberi impak langsung kepada masyarakat melalui pendekatan turun padang dan kolaborasi setempat.

“Penganjuran Dalit Cup ini salah satu cara UMS mendekati golongan belia melalui sukan, sambil mengukuhkan hubungan antara universiti dan komuniti,” jelasnya.

Sebanyak tujuh pasukan dari sekitar Tuaran — termasuk Pasukan Tuaran Bandar, Gayang, Berunggis, Mengkabong, Marabahai, Telipok dan Nongkolud — berentap merebut gelaran juara edisi pertama Dalit Cup, simbol semangat kesepaduan antara universiti dan rakyat.