UMNO Sabah Anggap Tawaran 8 Kerusi GRS Satu Penghinaan – Samasuddin

KALABAKAN: UMNO dan Barisan Nasional (BN) Sabah menegaskan tidak akan tunduk kepada sebarang rundingan yang dianggap tidak adil terutama dalam soal pembahagian kerusi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop berkata, kegagalan rundingan bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berpunca daripada tindakan GRS hanya menawarkan lapan kerusi kepada BN, jauh lebih rendah berbanding 14 kerusi dimenangi BN pada PRN lalu.

Menurutnya, tindakan itu jelas menunjukkan keangkuhan serta kegagalan menghormati semangat kerjasama politik antara kedua-dua gabungan.

“BN berpegang pada prinsip incumbency rule, iaitu kerusi yang pernah dimenangi mesti dikekalkan kepada parti asal. Jika berlaku pertindihan, ia perlu diselesaikan secara adil menerusi swap rule,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menyifatkan kenyataan pemimpin GRS yang mendakwa tawaran lapan kerusi itu sudah terlalu banyak sebagai penghinaan terhadap kekuatan serta peranan BN dalam landskap politik Sabah.

“Ini bukan sahaja menafikan sumbangan BN, malah menyinggung perasaan ahli dan penyokong di seluruh negeri. BN tidak akan berkompromi dengan rundingan pincang yang tidak menghormati asas rundingan,” tegasnya.

Dalam masa sama, Samasuddin menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang menolak sebarang bentuk rundingan berat sebelah.

Katanya, rundingan bersama Pakatan Harapan (PH) jauh lebih harmoni dan profesional kerana mampu diselesaikan dengan semangat saling hormat serta keikhlasan, sejajar dengan Kerajaan Perpaduan.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ketua UMNO Kalabakan menyeru seluruh ahli BN Sabah berdiri teguh di belakang pimpinan parti untuk memastikan kekuatan BN kekal kukuh menjelang PRN akan datang.

“Inilah masanya kita buktikan kesetiaan demi kemenangan bermaruah serta masa depan negeri yang lebih stabil dan makmur,” katanya.