Tuduh PTI: Mohd Shafie Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Penama ‘Datuk Chin’

PAPAR : Tindakan undang-undang akan diambil terhadap seorang individu berasal dari Tawau dikenali sebagai ‘Datuk Chin’ didakwa menyebarkan fitnah terhadap asal-usul keturunannya.

Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya tuduhan bahawa keluarganya berasal dari Filipina atau tergolong sebagai Pendatang Tanpa Izin (PTI).

Katanya, tuduhan tersebut sebagai satu penghinaan sekali gus cubaan menjatuhkan maruahnya sebagai anak jati Sabah.

“Saya akan bawa Datuk Chin dari Tawau ke Mahkamah. Dalam masa sama saya sudah maklumkan kepada peguam saya kita akan heret mereka ke mahkamah.

“Mereka mahu tengok kubur nenek saya? Saya boleh bawa. Kubur nenek saya, ada di Bugaya, Semporna. Kami bukan PTI,” katanya di sini semalam.

Mohd Shafie merupakan Ahli Parlimen Semporna berkata, beliau menegaskan bahawa beliau merupakan anak jati Sabah yang mempunyai keturunan dan akar umbi yang jelas.

“Tuduhan uduhan terhadap keturunannya dilihat sebagai satu bentuk serangan politik yang cuba mencemarkan nama baik keluarga.

“Ini sekali gus membabitkan arwah pakciknya, Tun Sakaran Dandai, bekas Ketua Menteri serta Yang di-Pertua Negeri Sabah,” jelas Mohd Shafie.

Menurutnya, semasa pakciknya menjadi Ketua Menteri serta TYT, adakah dia PTI?

“Saya sendiri, pernah jadi Naib Presiden UMNO, Timbalan Menteri Pertahanan. Tuduhan ini tidak masuk akal, hanya untuk menjatuhkan saya,” kata Mohd Shafie.