TUARAN: Lima lelaki maut selepas kereta Toyota Wish yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Sulaman Gayang berhampiran Pusat Latihan RELA Tuaran, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.09 petang sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi.
Menurutnya, kemalangan berlaku pada jam 2.10 petang dan kesemua mangsa berusia lingkungan 20-an tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas.
“Namun, kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Pemandu treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut, manakala operasi menyelamat ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 petang.