Tong Diesel, Longgokan Tayar Terbakar di Kimanis

KIMANIS: Enam tong minyak diesel dan longgokan tayar musnah dalam kebakaran di Batu 30, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang itu, tiga tong berisi minyak diesel dengan kapasiti maksimum 18,000 liter setiap satu dilaporkan terlibat, manakala tiga lagi tong kosong.

Komander Operasi, PBK I Norman berkata, pihaknya berjaya menyelamatkan dua tong yang mengandungi 18,000 liter dan 10,000 liter diesel, manakala satu tong berisi 1,000 liter terbakar kira-kira 70 peratus.

“Selain itu, kebakaran turut melibatkan longgokan tayar berkeluasan 100 x 100 kaki yang terbakar sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan sebuah rumah pekerja serta pejabat berkeluasan 30 x 20 kaki daripada musnah dijilat api.

Operasi pemadaman dijalankan oleh 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis dengan bantuan BBP Papar.

“Kebakaran dipadam menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan tiga pancutan air, selain sumber air terbuka dari sungai berhampiran serta bantuan jentera pihak kilang,” katanya.

Beliau berkata, operasi berjaya dikawal pada jam 11 malam sebelum ditamatkan sepenuhnya pada 8.20 pagi selepas keadaan disahkan selamat.

Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.