KOTA KINABALU: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Sabah menahan seorang lelaki kerana disyaki memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan bagi tiga individu berasingan.
Tangkapan dilakukan kira-kira jam 11 pagi, 4 Februari lalu di pejabat JPN Kota Kinabalu hasil pemantauan dan siasatan dalaman pegawai penguat kuasa negeri.
Menurut JPN Sabah, suspek dipercayai bertindak sebagai penganjur atau penjamin dengan mendakwa dirinya sebagai bapa kepada pemohon, namun semakan mendapati wujud percanggahan maklumat pada dokumen sokongan dan rekod pendaftaran.
Kes disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
JPN Sabah menegaskan tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi bagi memastikan integriti sistem pendaftaran negara terus terpelihara.
