Tiada sabitan, pembangkang digesa henti politisasi lantikan Pengerusi SDB

KOTA KINABALU: Pembangkang digesa supaya tidak terus mempolitikkan pelantikan Datuk Dr Yusof Yacob sebagai Pengerusi Sabah Development Berhad (SDB) selagi tiada sebarang keputusan mahkamah yang mensabitkan beliau dengan kesalahan jenayah.

Aktivis politik pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah berkata, kritikan berterusan terhadap lantikan itu adalah pramatang dan tidak berasas dari sudut perundangan kerana kes yang dikaitkan dengan Yusof masih dalam perbicaraan.

Menurutnya, walaupun dakwaan rasuah sering dibangkitkan, hakikatnya tiada sabitan mahkamah setakat ini, dan prinsip asas perundangan perlu dihormati.

“Dalam negara yang menjunjung kedaulatan undang-undang, seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya. Selagi tiada sabitan, adalah tidak wajar menghukum seseorang secara politik,” katanya dalam satu kenyataan.

Aksyah turut mempertahankan rekod Yusof ketika menerajui Qhazanah Sabah, sambil menegaskan tiada isu salah guna kuasa yang menjejaskan operasi syarikat itu sepanjang tempoh kepimpinannya.

Beliau mengingatkan pembangkang supaya memainkan peranan sebagai ejen semak dan imbang secara bertanggungjawab, bukannya menolak setiap keputusan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

“Berilah peluang kepada Yusof untuk membuktikan keupayaannya. Rakyat menilai prestasi dan hasil, bukan polemik politik yang berpanjangan,” katanya.