Tercampak Keluar MPV, Lelaki Maut Di Tempat Kejadian

TAMBUNAN: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kenderaan dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan Servay Jaya Supermarket, Jalan Dabata, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.56 petang, mangsa yang memandu Perodua Alza disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, PPgB Mitchell Francis George, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum sepasukan tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati kemalangan melibatkan Perodua Alza dan Toyota Avanza.

“Pemandu Perodua Alza ditemui di luar kenderaan dipercayai tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemandu Toyota Avanza, seorang wanita berusia 38 tahun, dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut dan siasatan.

Operasi diketuai oleh PBK II Lioba Bin Loreto dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.40 petang selepas pihak bomba memastikan keadaan selamat serta tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.