Tercampak Keluar Lori, Lelaki Maut Dalam Kemalangan di Sook

SOOK: Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas lori tiga tan yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Sinaran, Kampung Sinaron Tengah, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.58 pagi itu, semua mangsa tercampak keluar daripada kenderaan selepas lori berkenaan hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sook, PBK I Maimin Yabin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui MERS999 sebelum tujuh anggota dikerahkan ke lokasi kejadian sejauh 60 kilometer.

“Sebaik tiba, dua mangsa lelaki didapati cedera dan diberi rawatan awal oleh pasukan bomba serta KKM sebelum dihantar ke hospital.

“Seorang lagi mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai kesihatan,” katanya dalam kkenyataan di sini semalam.

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.