TAWAU: Niat seorang lelaki menyimpan rahsia kotor terbongkar selepas seorang kanak-kanak perempuan menemui sebuah telefon bimbit disorokkan di dalam bilik air rumah mereka, dipercayai sedang merakam secara sulit.
Penemuan mengejutkan itu membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang juga bapa tiri mangsa, disyaki merakam video sulit ahli keluarganya ketika mereka menggunakan bilik air di sebuah rumah di Kampung Tanjung Batu Laut, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata laporan diterima pada jam 6.27 petang Ahad lalu selepas kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun menyerahkan telefon berkenaan kepada ibunya.
Menurutnya, telefon itu ditemui dalam keadaan disorok dan dipercayai sedang merakam, mencetuskan syak wasangka sebelum laporan polis dibuat.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat beberapa rakaman video mengaibkan melibatkan mangsa serta anak-anaknya, dipercayai dirakam tanpa pengetahuan mereka ketika berada di dalam bilik air,” katanya dalam kenyataan.
Suspek yang bekerja sebagai buruh dan tinggal serumah dengan mangsa ditahan kira-kira jam 8.07 malam hari sama, kurang dua jam selepas laporan dibuat.
Pemeriksaan awal ke atas telefon bimbit yang dirampas menemui 10 klip video dipercayai dirakam secara sulit, melibatkan mangsa serta dua orang anaknya.
Difahamkan, perbuatan suspek terbongkar sepenuhnya selepas ahli keluarga mempersoalkan tindakan mencurigakan itu, sebelum lelaki berkenaan mengaku melakukan rakaman terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377D dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan tidak senonoh serta mengaibkan kehormatan mangsa.
ACP Jasmin menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan jijik yang mencabul privasi dan keselamatan mangsa, khususnya melibatkan kanak-kanak dan ahli keluarga sendiri.
