TAWAU: Seorang kanak-kanak perempuan menahan kesakitan hampir sejam apabila jari manisnya tersangkut tombol pintu, dalam kejadian di rumahnya di Jalan Bukit Kawa Apas, Balung di sini semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menggunakan peralatan khas ‘cutter’ untuk menanggalkan tombol pintu terbabit selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 7.05 malam.
Katanya, anggota bomba mengambil masa selama 12 minit untuk memotong tombol tersebut sekali gus bernasib baik mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Ketika tiba di lokasi, pasukan bomba bersama tujuh anggota pada jarak 45 kilometer dari balai bomba mendapati jari manis kanan mangsa tersekat dalam tombol pintu.
“Operasi ini diketuai Komander PBK II KUP Khalik Ali menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.05 malam tadi,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Jemishin berkata, selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian, operasi ditamatkan jam 8.07 malam.
