KOTA KINABALU – Pasukan TABS bersedia menghadapi cabaran pasukan Jerudong International School dari Brunei Darussalam dalam perlawanan pembukaan kategori B-18 Malaysia Borneo Football Cup 2025 yang akan berlangsung di padang sintetik UMS pada 27 Oktober ini.
Kejohanan edisi sulung itu menyaksikan penyertaan enam pasukan iaitu Jerudong International School (Brunei), TABS (Malaysia), NCR-Select dan Ateno (Filipina), selain DPM Sports School serta RZFC dari Malaysia.
Jurulatih TABS, Rosly Jamal, berkata pasukannya akan memberikan aksi terbaik untuk bersaing dengan pasukan luar sambil menghormati kemampuan pasukan tempatan.
“Pemain-pemain berada dalam semangat tinggi dan kami berharap tiada kecederaan berlaku. Keghairahan sahaja tidak cukup, mereka perlu buktikan kemampuan sebenar di atas padang,” katanya.
Menariknya, TABS turut menyenaraikan seorang pemain perempuan, Lula, yang akan beraksi bersama pemain lelaki.
“Lula menunjukkan kesungguhan luar biasa dalam sesi latihan hujung minggu dan kami yakin dia mampu menonjolkan kemampuan sebenar dengan sokongan rakan sepasukan,” ujar Rosly.
Beliau menambah, majoriti pemain sudah berpengalaman dalam perlawanan kompetitif dan yakin mereka dapat beraksi konsisten sepanjang kejohanan.
TABS dijadual menentang pasukan Ateno dari Filipina pada hari pertama, manakala pada hari kedua mereka bakal berdepan tiga lagi perlawanan penting.
