TABS SAFA Bandaraya tutup tahun dengan pencapaian cemerlang

KOTA KINABALU: TABS SAFA Bandaraya mengakhiri tahun 2025 dengan penuh bergaya apabila meraih kejuaraan kategori B16 serta muncul naib juara bagi kategori B12 dan B10 dalam Kejohanan Empat Penjuru anjuran Kinabalu Knight Football Club (KKFC) di padang sintetik Kompleks Sukan Likas, Ahad lalu.

Timbalan Pengerusinya, Lokman Sunggim, berkata pencapaian itu merupakan satu kejayaan yang membanggakan bagi pemain-pemain muda sebelum melangkah ke tahun baharu.

“Kita berpuas hati dengan persembahan mereka sepanjang kejohanan ini di mana mereka mampu memberi saingan sengit kepada pasukan lawan,” katanya.

Kejohanan itu menyaksikan persaingan antara empat pasukan iaitu KKFC, TABS, Persatuan Bola Sepak Putatan dan Kinabalu Jaquar Speed (KJS).

Selain itu, Lokman turut menzahirkan ucapan tahniah kepada pasukan TABS B12 yang menduduki naib juara plate dalam kejohanan anjuran TBBKK, manakala pasukan B13 bertanding dalam satu kejohanan di Kota Marudu minggu lalu.

Menurut beliau, penyertaan dalam kejohanan sebegini bukan sekadar komitmen, malah ia menjadi platform penting untuk menguji bakat pemain yang mengikuti program pembangunan bola sepak TABS.

“Selain sesi latihan hujung minggu, kita juga mengenal pasti bakat dan potensi pemain untuk diketengahkan dalam kejohanan sebenar,” jelasnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada jurulatih yang terlibat iaitu Rosly Jamal, Hassan Madisah, Hamizam Ismail, Shahrizal Wahimin dan Ahmad Ibrahim yang mengendalikan pasukan masing-masing.

TABS SAFA Bandaraya juga merancang lebih banyak program dan aktiviti tahun depan bagi memperkukuhkan pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi serta memperkemas kolaborasi dengan kelab profesional Sabah FC.