TAWAU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 20 tahun dipercayai terlibat dalam kes tikam seorang lelaki di perkampungan Batu 4, Jalan Apas, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu selepas mangsa, seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 20-an, mendapatkan rawatan di Hospital Tawau kira-kira jam 7.15 malam semalam.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan akibat ditikam di bahagian siku kanan oleh seorang lelaki tidak dikenali.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek kira-kira jam 2.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, suspek dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada, mengelakkan sebarang konfrontasi serta segera melaporkan kejadian jenayah kepada pihak polis.
Katanya, tindakan pantas polis diharap dapat meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan awam di daerah ini.
