Suria Capital Lantik Abdul Rahman Dahlan Sebagai Pengerusi Bebas

KOTA KINABALU: Suria Capital Holdings Berhad melantik bekas Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Pengerusi Bebas dan Bukan Eksekutif, berkuat kuasa 21 Januari 2026.

Pelantikan itu dilihat sebagai langkah strategik bagi memperkukuh tadbir urus korporat serta kepimpinan lembaga pengarah syarikat, seiring peranan Suria Capital sebagai pengendali infrastruktur pelabuhan utama di Sabah.

Suria Capital mengendalikan lapan pelabuhan di Sabah, termasuk Sapangar Bay Container Port dan Pelabuhan Kota Kinabalu, yang menjadi antara nadi utama perdagangan, logistik dan rantaian bekalan negeri.

Kedua-dua pelabuhan berkenaan memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan barangan domestik dan antarabangsa, selain menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serta daya saing Sabah sebagai hab logistik di rantau ini.

Dengan pengalaman luas Abdul Rahman Dahlan dalam pentadbiran dan pengurusan strategik, Suria Capital dijangka dapat memperkukuh hala tuju korporatnya serta menyokong agenda pembangunan pelabuhan yang mampan dan berdaya saing di Sabah.