KOTA KINABALU: Presiden Kehormat Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Tawau (TCA), Datuk Najib Tay Abdullah menggesa masyarakat agar tidak terpengaruh dengan ‘wayang politik’ yang didakwa dimainkan seorang ahli perniagaan, Datuk Albert Tei.
Najib berkata tindakan Albert sejak kebelakangan ini semakin melampau termasuk menyerang kepimpinan negeri secara terbuka sehingga boleh mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan rakyat.
“Sejak akhir-akhir ini, kelakuannya semakin melampau. Sudahlah berani menyerang Ketua Menteri (interim), hari-hari pula mencetus tuduhan yang bukan-bukan.
“Terbaru, beliau membuat onar ketika dihalang masuk (ke Sabah) dan menuding jari kepada orang tertentu yang kononnya menjadi dalang di sebalik semua ini. Sedangkan dia sendiri suka main wayang dan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Najib, jika Albert yakin dirinya berada di pihak benar, beliau seharusnya membuktikannya di mahkamah dan bukannya mengheret masyarakat dalam naratif yang mengelirukan.
“Jika rasa diri itu benar, buktikanlah di mahkamah. Tetapi ketika perbicaraan, boleh pula mengaku tidak bersalah… kegilaan apa ini?” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat seharusnya kekal rasional serta tidak terikut-ikut dengan strategi ‘pembunuhan karakter’ yang hanya akan merosakkan perpaduan.
Mengulas mengenai video rasuah yang didedahkan Albert sebelum ini, Najib mahu isu berkenaan diselesaikan melalui proses undang-undang, bukan tekanan atau provokasi melalui media.
“Ini sampai keluar podcast, hentam sana sini serta menyebarkan naratif songsang terhadap kerajaan.
“Tapi bila masuk mahkamah, tidak mengaku bersalah memberi suapan… jadi apa sebenarnya maksud beliau? Tuduhan tidak berlaku atau sengaja mahu menghasut?” katanya.
Najib yakin tindakan Albert disokong pihak tertentu yang mempunyai agenda mahu menjatuhkan imej kepimpinan kerajaan.
“Cukuplah dengan drama dan retorik. Jangan sampai rakyat Sabah terus menjadi mangsa permainan politik sebegini,” tegasnya.
