Strategi Berani Harapan Rakyat, Presiden Beri Laluan, Anak Muda Ambil Tempat

KOTA KINABALU: Keputusan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah, untuk tidak bertanding pada PRN17 menimbulkan persoalan mengenai hala tuju kepimpinan parti itu, namun beliau menegaskan langkah tersebut dibuat bagi memberi ruang kepada barisan calon muda.

Liew  berkata tindakan itu bukan sesuatu yang luar biasa dalam Harapan Rakyat, sambil menolak andaian bahawa beliau seharusnya mengetuai pertarungan kerusi demi menunjukkan kekuatan parti.

“Dalam Harapan Rakyat, tidak ada sifat rakus. Saya tidak pentingkan kedudukan. Yang lebih penting adalah membuka peluang kepada orang muda,” katanya mengikut laporan Sinar Harian.

Namun keputusan itu muncul hanya beberapa hari selepas parti menggantung keahlian dan jawatan timbalan presiden — yang juga penyandang kerusi DUN Kukusan — sekali gus mencetuskan persoalan mengenai dinamika dalaman parti tersebut.

Mengulas peluang calon baharu di Kukusan, Liew cuba meredakan spekulasi dengan menyatakan bahawa pertukaran calon bukan isu besar.

“Ahli politik bila-bila masa boleh diganti. Perkara yang lebih utama ialah perjuangan parti dan sama ada rakyat menerima calon itu,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kepimpinan tertinggi parti akan membimbing calon muda yang diketengahkan, dengan janji bahawa pendekatan tersebut lebih memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami memantau dan memberi panduan. Fokus kami tetap sama – rakyat, bukan kepentingan peribadi.”

Penggantian calon di Kukusan berlaku selepas timbalan presidennya digantung pada Rabu lalu, menimbulkan spekulasi mengenai ketegangan dalaman yang cuba disusun semula menjelang PRN17.