STB mahu industri swasta jadi penggerak utama promosi pelancongan Sabah

KOTA KINABALU: Lembaga Pelancongan Sabah (STB) akan menumpukan peranannya kepada penyediaan dasar, hala tuju strategik dan sokongan institusi, manakala sektor swasta digalakkan untuk menjadi pemacu utama aktiviti promosi dan penjualan produk pelancongan di negeri ini.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata pendekatan itu bertujuan membentuk ekosistem pelancongan yang dipacu industri, dengan STB berfungsi sebagai pemudah cara dan penyelaras.

“STB menyediakan rangka strategik dan sokongan, namun pengusaha pelancongan perlu menggerakkan sendiri aktiviti dan jualan produk bagi memastikan pertumbuhan mampan industri,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, ekspo domestik perlu dimanfaatkan sebagai saluran utama untuk memperluas capaian pengusaha tempatan, manakala bagi pasaran antarabangsa, tumpuan akan diberikan kepada pemerkasaan ejen pelancongan sebagai penggerak utama tempahan pelawat.

Joniston turut menekankan kepentingan meningkatkan promosi Pesta Kaamatan serta perayaan unik lain di Sabah sebagai tarikan pelancongan bermusim, termasuk melalui pembentukan pakej pelancongan berasaskan perayaan dan pengisian aktiviti budaya bagi memanjangkan tempoh penginapan pelawat.

Dalam masa sama, beliau berkata kerjasama strategik bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan perlu diperkukuh bagi memposisikan Kota Kinabalu sebagai destinasi bandar utama dan pintu masuk pelancongan negeri.

Katanya, langkah itu selari dengan kempen Visit Malaysia 2026 selain persiapan awal Sabah menjelang Visit Sabah 2027 yang menuntut kerjasama bersepadu antara kerajaan dan pemain industri.