SPRM Tahan Penjawat Awam, Pesara Kerajaan Disyaki Pecah Amanah RM303,000

LAHAD DATU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua individu, iaitu seorang penjawat awam dan seorang pesara kerajaan, kerana disyaki terlibat dalam kes pecah amanah melibatkan wang berjumlah kira-kira RM303,000.

Menurut sumber, kedua-dua suspek seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 60-an ditahan sekitar jam 12 tengah hari ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu.

“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara Julai 2020 hingga Februari 2021 semasa berkhidmat di sebuah agensi kerajaan di Sabah,” katanya dalam kenyataan media hari iniZ

Difahamkan, mereka dipercayai telah menyalahgunakan lapan set baucar bayaran kepada buruh asing bernilai RM303,000, walaupun bayaran tersebut tidak pernah diterima oleh buruh terbabit.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah, mengesahkan penahanan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana kesalahan pecah amanah oleh penjawat awam.