KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menegaskan sokongan padu rakyat amat penting bagi merealisasikan agenda pembangunan Kerajaan Negeri demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan Sabah.
Beliau berkata aspirasi kepimpinannya adalah untuk melakar hala tuju pembangunan yang mampan dan inklusif, justeru kesinambungan sokongan rakyat menjadi tunjang utama kepada kejayaan pelaksanaan dasar serta perancangan kerajaan negeri.
Ucapan beliau disampaikan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun ketika merasmikan Festival Tarian Naga, Unicorn dan Singa sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Komuniti Cina Sabah Bersekutu Kota Kinabalu (USCCAKK) yang berjaya menganjurkan festival berkenaan secara konsisten, sekali gus menjadikannya acara kebudayaan tahunan yang dinanti-nantikan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
Beliau berkata kepelbagaian sambutan perayaan dan kebudayaan dalam kalangan rakyat Sabah merupakan identiti unik negeri ini serta menjadi asas kukuh dalam memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya, Tahun Kuda Api 2026 yang melambangkan perubahan, inovasi dan keberanian wajar dijadikan pemangkin untuk bersama-sama memacu pembangunan ekonomi, sosial serta kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri akan terus mara ke hadapan dalam melaksanakan agenda pembangunan, memulihkan ekonomi serta meneroka peluang baharu demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
