KUDAT: Sekolah Kebangsaan (SK) Garau muncul juara keseluruhan Kejohanan Merentas Desa Majlis Sukan Sekolah (MSS) Zon Matunggong 2026 kategori sekolah rendah yang berlangsung di SK Garau, baru-baru ini.
Kejohanan berkenaan menghimpunkan seramai 60 murid daripada enam sekolah rendah sekitar Zon Matunggong dengan sokongan 40 guru, 15 sukarelawan, dua pegawai perhubungan sekolah (PDRM) serta penglibatan ibu bapa dan komuniti setempat.

Pelepasan peserta disempurnakan oleh Guru Besar SK Garau, Wahiddin Rashid bersama Guru Besar SK Lampaki, Alfred Mangabis.
Menurut Wahiddin, kejohanan itu bukan sekadar medan persaingan sukan, malah berperanan membentuk sahsiah, disiplin serta ketahanan mental murid melalui persaingan sihat.
“Acara merentas desa menguji kecergasan fizikal di samping memupuk semangat juang, disiplin dan ketabahan dalam kalangan peserta,” katanya.

Dalam kejohanan itu, SK Lampaki muncul naib juara, diikuti SK Lotong di tempat ketiga. Kedudukan keempat hingga keenam masing-masing dimenangi SK Pinawantai, SK Sebayan dan SK Matunggong.
Seramai lima peserta terbaik bagi setiap kategori lelaki dan perempuan bawah 12 tahun akan dipilih mewakili Zon Matunggong ke Kejohanan Merentas Desa peringkat daerah Kudat yang dijadual berlangsung pada April 2026.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Mary Mongujil berkata penganjuran kejohanan berkenaan menjadi platform pembentukan jati diri murid melalui penerapan nilai disiplin, kesungguhan dan daya saing positif.
