Shahelmey mungkin letak jawatan Presiden SAFA

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Shahelmy Yahya dijangka mengumumkan peletakan  jawatan dalam badan bola sepak negeri, minggu depan.

Sumber-sumber di sini menyatakan, beliau yang memegang jawatan itu lebih dua tahun dijangka mengakhirinya, sesuatu diluar jangkaan peminat sukan bola sepak.

“SAFA akan mengadakan kongres tahunanya pada 13 Disember ini. Mungkin ini waktu yang sesuai, beliau membuat pengumuman di hadapan para perwakilan,” kata sumber itu.

Sebelum ini, terdapat ura-ura bertiup kencang mengenai pendiriannya untuk mengundur diri dari badan bola sepak negeri itu.

Shahelmy memenangi jawatan Presiden SAFA dalam kongres pemilihannya pada Mei 2023.

Pada pilihan raya negeri bulan lalu, beliau tidak bertanding untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat sebaliknya adik beliau, Shah Alfie dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding dan berjaya memenangi kerusi berkenaan.

Sementara itu, Kongres Pemilihan SAFA dijadualkan diadakan pada Mei tahun depan.