Shahelmey galak belia Putatan sertai e-Sport, Platform jana pendapatan, elak gejala sosial

PUTATAN – Sukan elektronik (e-Sport) bukan lagi sekadar permainan, sebaliknya mampu membuka peluang kerjaya dan meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan belia di daerah ini.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya berkata, e-Sport kini menjadi sebahagian daripada perkembangan industri teknologi yang merangkumi pembangunan IT, penciptaan kandungan dan ekonomi digital.

PARA belia sekitar Tanjung Keramat, Putatan yang menyertai pertandingan Mobile Legends, di acara berkenaan.

“Anak muda hari ini bukan hanya bermain untuk suka-suka. e-Sport telah menjadi platform menjana pendapatan seperti kerjaya pencipta kandungan, atlet e-Sport profesional dan pelbagai peluang keusahawanan lain.

“Lebih menarik, ia turut menggalakkan kerjasama berpasukan, disiplin tinggi serta menyatukan komuniti belia,” katanya ketika merasmikan Pertandingan e-Sport Belia Tanjung Keramat di Dewan Mini Pasir Putih, di sini pada Ahad.

Beliau menambah, Putatan tidak mahu ketinggalan dalam arus perkembangan e-Sport yang semakin mendapat tempat di peringkat antarabangsa.

“Kita mahu Putatan menjadi sebahagian daripada pemangkin industri digital ini pada masa akan datang,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan e-Sport mampu menjadi aktiviti alternatif yang sihat untuk mengelakkan belia daripada terjebak dengan gejala negatif.

“Program seperti ini harus diteruskan kerana mampu mengenal pasti bakat baharu serta mengangkat nama Putatan di pentas e-Sport,” katanya.